PEKAN. 1 Julai 2016 bersamaan 1 Syawal 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat menunaikan solat sunat Aidil Fitri bersama kira-kira 10,000 jemaah di Masjid Sultan Ahmad, dekat sini.

Berangkat sama mengiringi baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj dan paduka-paduka anakanda putera dan puteri, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim dan Isteri, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah.

Turut mengiringi, Paduka kekanda-kekanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang
Tengku Tan Sri Hajjah,Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang Hajjah Tengku Dato’ Muhaini, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang
Tengku Hajjah Dato’ Aishah, . Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Dato’ Hajjah Shahariah dan suami masing-masing.

Turut menyertai solat aidil fitri pagi tadi, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Adnan bin Yaakob, Yang Dipertua Dewan Undangan Pahang, Dato’ Sri Ishak bin Mohammad, Ahli-ahli Exco Kerajaan Pahang dan Pegawai Kanan Kerajaan.

Khutbah solat sunat Aidil Fitri telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang YH Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Osman.

Sebaik selesai mengerjakan solat, baginda sekeluarga berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah yang diadakan di Dewan Mulia Istana Abu Bakar, Pekan.