KUANTAN 14 Julai 2016 bersamaan 9 Syawal 1437H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Muadzam Shah bercemar duli berangkat ke Majlis Penyerahan Bendera Negeri Pahang kepada Kotintinjen Pahang ke Temasya Dwitahunan Sukan Malaysia (Sukma) di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini. Dalam majlis itu, baginda menyempurna penyerahan bendera Pahang kepada Ketua Kontinjen Pahang, YH Datuk Fadzilla Salleh.

Baginda turut beramah mesra dan bergambar bersama pegawai dan atlit-atlit sebelum berangkat pulang. Keberangkatan Sultan Pahang pada hari ini, pastinya menyuntik semangat juang kepada atlit-atlit Pahang sebagai bekalan sebelum berhadapan cabaran sebenar di Sukma edisi ke-18 di Sarawak yang akan berlangsung bermula 22 hingga 3 Julai ini. Untuk edisi kali ini,Pahang meletakkan sasaran sebanyak 28 emas, 22 perak dan 47 gangsa dan menghantar kontinjen seramai 463 terdiri atlet dan pengurusan dengan bertanding dalam 23 acara berbanding 24 jenis sukan yang dipertandingkan.

Pada edisi sebelum ini di Perlis 2014 menyaksikan Pahang meraih kedudukan ke-5 keseluruhan selepas memungut 42 emas, 32 perak dan 38 gangsa. Hadir sama, Menteri Besar, YAB Datuk Seri Haji Adnan bin Yaakob dan Exco Belia, Sukan Negeri, YB Datuk Haji Mohd Johari bin Hussain, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Sri Haji Ishak Mohammad, exco-exco, Pegawai kanan kerajaan, Pengurus-pengurus pasukan dan semua atlit yang terpilih mewakili negeri ke Sukma tahun ini.