TEMERLOH. 16 Julai 2016 bersamaan 11 Syawal 1437H – Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencemar duli di Dewan SMK Abu Bakar bagi menyempurnakan Majlis Pengurnian Sumbangan Kepada Mangsa Ribut Daerah Temerloh. Baginda telah diberi taklimat berhubung kejadian yang menimpa penduduk di beberapa buah kampung dan taman perumahan di daerah ini.

Di awal titah, baginda mengucapkan Selamat Hari Raya dan menyampaikan salam dari Seri Paduka Ayahanda KDYMM Sultan dan seluruh keluarga diraja Pahang. Baginda bertitah, bencana yg berlaku ini semoga dapat mengekalkan sifat sabar dan saling bantu-membantu dari kalangan rakyat. Bencana ini adalah kehendak Allah SWT dalam memberi peringatan kepada hambaNya supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaanNya. Bersama-sama bersolat Hajat dan berdoa agar Pahang dilindungi daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Baginda mengingatkan keamanan dan keharmonian yang dikecapi hendaklah dikekalkan, perlu ada sifat toleransi dan rasa bertanggungjawab, hormat-menghormati serta tolong-menolong.

Semasa baginda menerima perkhabaran bencana yang menimpa rakyat jelata di Temerloh dan beberapa daerah lain, baginda berbangga dengan para pegawai negeri Pahang yang terlibat telah mengambil tindakan segera turun padang membantu mangsa bencana walaupun sedang bercuti. Baginda juga menghargai sumbangan beberapa pihak terlibat yang turut membantu mangsa bencana, antaranya JKKK dan Persatuan Perumahan melaksanakan gotong-royong serta penganjuran Program Jiwa Murni di Kerdau oleh pihak ATM dan Polis. Selain itu, beberapa infrastruktur awam yang terjejas dapat dibaik pulih secepat mungkin. Kejadian yang berlaku pada 4 Syawal yang lepas ketika menjelang waktu Maghrib mengejutkan penduduk yang terlibat. Hujan lebat disertai ribut kuat dan angin kencang menyebabkan sejumlah 192 buah rumah mengalami kerosakan. Anggaran jumlah kerosakan ditaksir mencecah RM191 ribu. Walaubagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sumbangan Bantuan Bencana daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang dikurniakan oleh baginda kepada mangsa-mangsa yang terlibat sebagai membantu meringankan beban mereka. Keseluruhan agihan berjumlah RM69,800.00. Keberangkatan baginda disambut oleh YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, YH Pengarah JAIP Dato’ Haji Mohamad Noor Abdul Rani, YB ADUN Lanchang Dato’ Sri Hj. Mohd Sharkar Hj. Shamsudin, YH Pegawai Daerah Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Ketua Polis Daerah ACP Mohd Anuar Othman.

Selesai kurniaan sumbangan mangsa ribut di Temerloh, KDYTM Tengku Mahkota Pahang berangkat ke Bentong menemui mangsa ribut dan kurniaan sumbangan di daerah tersebut.