BENTONG. 16 Julai 2016 bersamaan 11 Syawal 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat tiba di SJKC Kuala Repas sempena Majlis Pengurniaan Sumbangan dan Melawat Mangsa Ribut Daerah Bentong. Baginda diiringi bersama-sama YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob serta YB Menteri Pengangkutan Malaysia juga merupakan Ahli Parlimen Bentong Dato’ Sri Liow Tiong Lai melawat beberapa buah rumah penduduk Kampung Batu Satu yang mengalami kerosakan. Baginda mengucapkan Selamat Hari Raya dan berdoa agar semua mangsa ribut yang terlibat berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Keberangkatan baginda di tempat kejadian bencana bertujuan untuk melihat sendiri serta bertanya khabar kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Penghargaan kepada pihak Kerajaan Negeri di bawah naungan YAB Menteri Besar atas kepantasan bertindak membantu mangsa ribut. Ucapan tahniah juga kepada pihak berwajib atas ketangkasan membantu penduduk yang terjejas bencana. KDYTM Tengku Mahkota Pahang menitahkan sejumlah 30 buah rumah akan dibantu baik pulih dan berharap bantuan dapat dilaksanakan dalam kadar yang segera. Baginda memperingatkan agar bantuan yang dihulurkan tidak dipolitikkan. Baginda mengharapkan semua pihak akan bekerjasama menghulurkan bantuan apabila berlaku kejadian yang tidak diingini. Rasa kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana tiada mangsa yang terkorban akibat bencana yang berlaku dan masih lagi mempunyai tempat untuk berteduh.

Baginda kemudiannya mengurniakan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang berjumlah RM69 ribu kepada 230 orang penerima yang mengalami kerosakan kediaman. Kejadian ribut berserta angin kencang dan hujan lebat berlaku pada 12 Julai yang lepas, kira-kira pukul 5.40 petang dibeberapa buah kampung daerah ini. Selain kediaman penduduk terdapat juga bangunan kerajaan mengalami kerosakan.