KUANTAN. 20 Julai 2016 bersamaan 15 Syawal 1437H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah diiringi bersama DYMM Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom mencemar duli berangkat ke Kampus Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi menyempurnakan Majlis Perasmian IIUM Medical Centre (IIUMMC). Baginda juga merupakan Ketua Perlembagaan UIAM turut berkenan berangkat melawat Jabatan Radiologi yang dilengkapi dengan mesin dan teknologi perubatan antara tercanggih yang pernah ada setakat ini. Hadir bersama, YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, YBhg. Presiden UIAM Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, YBhg. Rektor Utama UIAM Prof. Dato’ Seri Dr. Zaleha Kamarudin serta pengurusan tertinggi UIAM.

Mengambil masa empat tahun untuk disiapkan bermula Julai 2012 dan siap sepenuhnya pada bulan Mei 2016. Perbelanjaan Projek IIUMMC keseluruhannya berjumlah RM589.62 juta, RM412.62 juta kos pembinaan bangunan manakala RM177 juta kos bagi pembelian peralatan perubatan. Sebagai sebuah pusat perubatan patuh syariah (pusat perubatan mesra ibadah) kaedah perawatan yang disarankan dalam Islam diterapkan kepada para pesakit. Bagi memudahkan pesakit beragama Islam menunaikan kewajipan solat, susunan katil menghadap kiblat. Kewujudan IIUMMC dapat memberi manfaat khususnya kepada penduduk sekitar Kuantan dalam mendapatkan perkhidmatan hospital yang moden dan terkini.