KUANTAN. 20 Julai 2016 bersamaan 16 Syawal 1437H – “Sebagai peminat sukan bola sepak bahkan diberi kepercayaan memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia, sudah tentu saya akan memberi galakan dan sokongan kepada sesiapa sahaja untuk menjayakan aktiviti sebegini”, titah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang yang telah disampaikan oleh anakanda baginda, YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bersempena Majlis Perasmian Karnival Kejohanan Futsal Tertutup Piala KDYTM Tengku Mahkota Pahang Siri 1/2016 bertempat di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota.
Selain mempamerkan bakat-bakat baru, paling utama kejohanan ini menjadi medium dalam menyemai semangat bersatu padu, mempererat silaturrahim, dapat berkenalan di antara satu sama lain serta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi. Sepertimana di Brazil , Pele antara pemain bola sepak terkenal bermula dengan bermain futsal jalanan sahaja. Berbanding di sini, pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dengan gelanggang futsal disediakan di setiap daerah, oleh itu tiada alasan untuk tidak bersukan. Selaku penaung kejohanan futsal ini, baginda merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakannya.
Selesai lawatan ke gerai pameran dan sembah kenal para peserta kejohanan, YM Tengku Hassanal bersama-sama hadirin berkenan menonton sepak mula perlawanan di antara pasukan yang mewakil DUN Tioman dan DUN Pelangai. Penganjuran kejohanan ini bersempena memuliakan ulang tahun keputeraan KDYTM Tengku Mahkota Pahang. Kejohanan selama enam hari bermula 20 hingga 26 Julai menawarkan hadiah utama wang tunai berjumlah RM20 ribu berserta piala pusingan, tempat kedua RM10 ribu dan tempat ketiga RM5 ribu terbuka kepada belia berumur 18-25 tahun. Hadir sama dalam majlis, YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan dan isteri, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, EXCO Negeri Pahang serta para penaja kejohanan.