KUANTAN 21 Julai 2016 bersamaan 16 Syawal 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat ke Majlis Forum Perdana Ehwal Islam yang diadakan di Perkarangan Stadium SUKPA di sini, malam tadi. Forum Perdana anjuran Persatuan Peniaga Melayu Bersatu Pahang (PPMBP) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan kerjasama Radio dan Television Malaysia (RTM) itu diadakan sempena memuliakan Hari Ulangtahun Keputeraan Tengku Mahkota Pahang Yang Ke-57. Majlis Forum Perdana yang mengambil masa satu jam itu disiar secara langsung menerusi di TV1 bermula jam 9.00 malam.

Forum Perdana yang bertajuk ‘Belia Pembina Negara’ itu dikendalikan oleh Ustaz Mohd Hariri Mohd Daus daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai moderator, manakala ahli panel terdiri daripada Penyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Kampus Gombak, YH Dato’ Dr Haji Farid Ravi Abdullah dan YH Dato’ Badlishah Alaudin. Turut mengiringi baginda, Paduka anakanda Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut memuliakan keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Islamiah, Dakwah dan Tugas-Tugas Khas Pahang, YB Dato’ Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad. Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas, YB Dato’ Norol Azali Sulaiman dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Jaafar, Presiden dan Chief Executive Officer UniKL, Prof. Dato’ Dr. Masliham Mohd Su’ud, Ahli-Ahli Jemaah Pangkuan Diraja Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.