KUANTAN. 22 Julai 2016 bersamaan 17 Syawal 1437H – Pencapaian Maahad Tahfiz Negeri Pahang membanggakan semenjak penubuhannya. Keputusannya yang sangat baik menjadikan MTNP pilihan utama kepada ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka bagi meningkat dan memperkasakan syiar Islam. Semoga pencapaian yang cemerlang dapat diteruskan untuk masa-masa akan datang. Selain itu juga, kepentingan mempelajari dan mendalami ilmu Al-Quran kepada anak-anak hendaklah sedari mereka kecil. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah demikian dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang diadakan bertempat di Hotel MS Garden. Baginda diiringi paduka anakanda YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Seramai 69 orang pelajar MTNP dikurniakan anugerah, Kecemerlangan Khatam Al-Quran 30 juzuk (33 orang), Kecemerlangan SPM (13 orang), Kecemerlangan Diploma Tahfiz Al-Quran (11 orang), Kecemerlangan Kokurikulum (4 orang) dan Kecemerlangan Syahadah Al-Quran (8 orang). Hadir sama dalam majlis, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, YH Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman dan YH Ketua Pegawai Eksekutif MTNP Dato’ Zulkifle Ali Al-Hafiz.