MARAN. 23 Julai 2016 bersamaan 18 Syawal 1437H – Paduka anakanda Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota, Tengku Abdullah menceriakan Majlis Mesra Aidil Fitri DUN Kuala Sentul yang diadakan diĀ  Dataran Semai Bakti, Jengka 3, dekat sini, malam semalam.

Yang Mulia Tengku Hassanal bersama paduka adinda Yang Mulia Tengku Ahmad Mu’adzam Shah hadir sebagai mewakili paduka ayahanda dan paduka bonda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj.

Ketibaan Tengku Hassanal dan paduka adinda disambut tuan rumah, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Yang Berhormat Dato’ Shahaniza binti Shamsuddin, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Ismail bin Abd Muttalib dan Isteri, Yang Berbahagia Datin Sri Dato’ Fatimah binti Kassim.

Kira-kira 10,000 pengunjung yang terdiri daripada tetamu jemputan dan masyarakat kawasan DUN Kuala Sentul hadir pada majlis itu.

Kehadiran Tengku Hassanal sebagai tetamu diraja pada majlis itu, sebaliknya Putera kepada Tengku Mahkota itu mengejutkan tuan rumah dan pengunjung apabila beliau sekadar menjamah sedikit santapan lalu beredar menemui dan melayan penuh mesra orang ramai yang sedang menjamu selera dari meja ke meja.

Tengku Hassanal turut berkunjung kesemua gerai-gerai dan turut melayan orang ramai untuk mendapatkan makanan, minuman dan kuih muih raya.

Selain itu, lebih menarik perhatian apabila Tengku Hassanal tanpa diduga menaiki lori aiskrim dan mengagihkan sendiri aiskrim kepada hampir 1,000 orang kanak-kanak yang hadir pada Majlis Mesra Aidil Fitri DUN Kuala Sentul.

Yang Mulia Tengku Hassanal Paduka adinda, Yang Mulia Tengku Ahmad Mu’adzam Shah turut menyempurnakan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dan memotong kek ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2016/1437H) sebelum meninggalkan majlis.

Turut hadir sebagai tetamu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas, Dato’ Norol Azali bin Sulaiman, Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Yang Berhormat Dato’ Wan Salman bin Wan Ismail dan Pegawai Daerah Maran, Yang Hormat Dato’ Syed Fuad bin Syed Taha dan isteri masing-masing.