MARAN 23 Julai 2016 bersamaan 18 Syawal 1437H – Rakyat sewajarnya bersyukur dengan kemakmuran negara serta mengekalkan formula keamanan yang dikecapi hari ini hingga ke anak cucu.

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah demikian ketika Titah Diraja pada Majlis Mesra Terbuka Aidil Fitri Kementerian Sumber Manusia dan Parlimen Maran yang berlangsung di Arena YAM Tengku Muda Pahang dekat sini hari ini.

“Betapa pentingnya jalinan ukhuwah sesama kita dan sentiasa memberi pandangan yang positif bagi membina masyarakat bertamadun”, tambah baginda.

Baginda turut mengambil kesempatan menyampaikan salam takzim daripada Sri Paduka Ayahanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang kepada hadirin dan mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

Turut mengiringi baginda, Paduka anakanda Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Keberangkatan baginda disambut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Abd Muttalib dan isteri Yang Berbahagia Darin Sri Dato’ Fatimah binti Kassim dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Yang Hormat Dato’ Sri Adenan bin Abd Rahman.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyempurnakan titah nasihat kepada lebih 10,000 pengunjung dan berkenan mengurniakan sumbangan kepada penerima-penerima bantuan Socso, Kementerian Sumber Manusia.

Manakala paduka anakanda Yang Mulia Tengku Muhammad menyempurnakan sumbangan duit raya kepada lebih 1,000 orang kanak-kanak yang hadir.

Tengku Mahkota Pahang turut berkenan memotong Kek Sempena memuliakan Hari Ulangtahun Keputeraan baginda Yang Ke-57 serta menjamah tabak pulut kuning.

Sebelum berangkat pulang, baginda berangkat melawat gerai-gerai yang menyediakan pelbagai juadah hari raya kepada orang ramai.

Tengku Mahkota mengambil kesempatan beramah mesra bersama rakyat jelata, para sukarelawan yang bertugas menyediakan makan sepanjang majlis teraebut.

Turut memuliakan, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan dan Isteri,Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Dato’ Hajjah Shahaniza binti Shamsuddin dan suami, Ahli Dewan Undangan Negeri Chenor, YB Dato’ Haji Mohamed Arifin bin Awang Ismail dan Isteri, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Luit, YB Hajjah Nur Hidayah binti Haji Suhaimi, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Yang Hormat Dato’ Sri Adenan bin Ab Rahman dan Pegawai Daerah Maran, Yang Hormat Dato’ Syed Fuad bin Syed Taha dan Ahli-Ahli Jemaah Pangkuan Diraja Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan dan isteri masing.