KUANTAN. 26 Julai 2016 bersamaan 21 Syawal 1437H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah bercemar duli berangkat menziarahi Ayahanda Saudara baginda, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Dato’ Ibrahim bin Tengku Sulaiman, yang sedang menerima rawatan intensif di Wad Diraja, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), disini hari ini.

Baginda yang diiringi Kerabat Bergelar, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Abdul Aziz ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar, dan Orang Besar Berempat, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, berangkat tiba di Wad Diraja, HTAA jam 9.40 pagi.

Keberangkatan tiba baginda, disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas, Yang Berhormat Dato’ Norol Azali bin Sulaiman, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Pahang Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Haji Rashid bin Cik Ali, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Mohamed Safian bin Mohamed dan Pengarah HTAA, Yang Hormat Dato’ Dr. Ardi bin Haji Awang.

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Dato’ Ibrahim bin Tengku Sulaiman, 78, dikejarkan ke HTAA pada 14 Julai lalu setelah beliau mengadu sesak nafas.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang mengambil masa lebih satu jam berada bersama ayahanda saudara di wad diraja sebelum berangkat pulang ke Istana Pahang di Kuala Lumpur.

Pada 16 Julai lalu, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj turut berangkat menziarahi YAM Tengku Panglima Besar di HTAA.