PEKAN 28 Julai 2016 bersamaan 23 Syawal 1437 – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menceriakan warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) apabila baginda bercemar duli berangkat di Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri mereka, di Kampus UMP, Kuala Pahang, dekat sini, petang tadi. Baginda selaku Tuanku Canselor UMP diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj tiba di tepat jam 3.00 petang.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UMP, Yang Hormat Profesor Dato’ Dr Daing Nasir bin Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato Sri Hilmey Mohd. Taib dan barisan Ahli Jawatankuasa Sambutan Hari Raya Aidil Fitri UMP Tahun 1437H/2016. Kira-kira 1,500 orang warga UMP, pelajar-pelajar termasuk 100 orang kalangan asnaf, anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz hadir pada sambutan Aidil Fitri yang julung kali diadakan di Kampus Utama UMP Kuala Pahang.

Sambil menjamu selera dengan pelbagai juadah termasuk kambing golek, Tetamu Diraja, para tetamu dan Warga UMP dihiburkan dengan persembahan nyayian oleh artis undangan, Nasir Wahab dan Nor Fazrah Bahari. Selain itu, Tuanku Canselor dan Tengku Puan Pahang turut menyempurnakan kurniaan sumbangan duit raya kepada 100 orang asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz.

Majlis sambutan Aidil Fitri UMP diakhiri dengan upacara persembahan dan memotong kek pulut kuning oleh Tuanku Canselor UMP dan Tengku Puan Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-57 dan Tengku Puan Pahang Ke-56. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, baginda berdua berkenan bergambar kenangan bersama barisan Kepimpinan Perwakilan Pelajar UMP.