PEKAN. 5 Ogos 2016 bersamaan 2 Zulkaedah 1437H – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diiringi bersama KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj mencemar duli ke Kampung Tanjung Medang melawat penduduk dan meninjau beberapa buah rumah yang ditimpa kerosakkan akibat bencana ribut.¬†Baginda menzahirkan keprihatinan di atas bencana yang menimpa rakyatnya dan berkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda menerusi Yayasan Istana Abdulaziz berserta bantuan bencana daripada pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang berjumlah RM10 ribu.

Kejadian ribut berlaku pada hari Ahad yang lepas menjelang Maghrib menyebabkan beberapa buah rumah penduduk mengalami kerosakan. Namun begitu, tiada kehilangan jiwa dan kecederaan menimpa penduduk.¬†Hadir sama memuliakan keberangkatan baginda, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, YH Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin dan YB ADUN BEBAR, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Arif.