KUALA LUMPUR. 9 Ogos 2016 bersamaan 6 Zulkaedah 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyempurnakan pelancaran rasmi penubuhan Kelab Warga Jerantut di Lembah Klang (JKV), di sini Ahad lalu. Keberangkatan tiba baginda disambut Pengerusi JKV, YH Dato’ Rozilan bin Salleh, Setiausahanya, Ahmad Murad bin Idris dan Ahli-ahli Jawatankuasa JKV. Ketika bertitah di Majlis Ramah Mesra Anak-Anak Jerantut dan Majlis Pelancaran Kelab JKV di Universiti Putra Malaysia (UPM), baginda terlebih dahulu mengucapkan tahniah di atas usaha YH Dato’ Rozilan dan rakan-rakan yang telah menubuhkan JKV dan ucapan terima kasih turut mengundang baginda.

Baginda berharap JKV dapat dijadikan platform terbaik untuk mengeratkan hubungan warga Jerantut yang berada di Lembah Klang. Tengku Abdullah turut menyarankan agar JKV dapat menjalin hubungan silaturrahim dengan anak-anak Pahang dari daerah lain yang juga bermastautin di Kuala Lumpur dan sekitar Selangor. Tengku Abdullah juga mengharapkan kelab berkenaan berperanan membantu pihak kerajaan negeri dalam usaha memulihara sejarah dan warisan unik yang terdapat di negeri Pahang.

“Ahli-ahli JKV boleh memainkan peranan masing-masing bagi memastikan tempat-tempat berkenaan dipelihara sebaik mungkin, selain mempamerkan kecantikannya menerusi apa juga media sebagai tarikan kepada orang luar khususnya pelancong asing berkunjung ke negeri Pahang”, titah baginda. Pada majlis yang sama, Dato’ Rozilan dan para tetamu turut memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tengku Mahkota Pahang Yang Ke-57 dengan upacara memotong dan menjamah pulut kuning. Turut hadir memuliakan keberangkat Tengku Mahkota Pahang, Mantan Timbalan Menteri Besar Pahang, YH Tan Sri Dato’ Sri Haji Abdul Aziz bin Abdul Rahman, Ahli Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Norol Azali bin Sulaiman, Ahli Parlimen Jerantut, Yang Berhormat Haji Ahmad Nazlan bin Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Yang Berhormat Dato’ Dr. Ahmad Shukri bin Haji Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Amizan bin Wan Abdul Razak.