MESIR. 16 September 2016 bersamaan 14 Zulhijjah 1437H – Asrama Wisma Pahang merupakan mercu tanda baharu milik Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang di luar negara. Terdapat seramai 425 orang pelajar dari Pahang menuntut di sini. Dengan adanya tempat penginapan yang dilengkapi dengan kemudahan memberi peluang kepada mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa sebagai seorang pelajar. Para pelajar diperingatkan agar mengambil peluang menimba ilmu dengan sebaiknya serta memperolehi keputusan yang terbaik antaranya, mumtaz, jayyid jiddan atau maqbul. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah sedemikian bersempena menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Asrama Wisma Pahang, Nasr City.

Majlis perasmian dihadiri oleh Ahli-Ahli Mesyuarat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Pegawai-Pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, Pegawai-Pegawai Majlis serta pelajar-pelajar Pahang di Mesir. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, baginda berkenan mengurniakan sumbangan kepada pelajar-pelajar Pahang serta kanak-kanak yang turut hadir di majlis tersebut. Baginda juga berkesempatan beramah mesra dan bergambar kenangan bersama-sama para pelajar.

Bangunan Asrama Wisma Pahang yang terletak di Nasr City, Kaherah, Mesir ini dibeli oleh pihak Majlis daripada pemaju projek, El-Attal Group of Companies direka bentuk agar sesuai sebagai asrama pelajar dan telah diduduki sepenuhnya oleh para pelajar Pahang. Bangunan ini dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, perpustakaan serta rumah pegawai. Pihak Majlis telah menempatkan seorang pegawai sebagai perantara dan mengawal selia bangunan milik Majlis di Mesir.

Baginda kemudiannya berangkat diiringi delegasi mencemar duli melawat ke bangunan asrama milik Majlis Ugama Islam Pahang di Alhayuu Awaal yang merupakan apartment 11 tingkat terletak hampir 100 meter dari Universiti Al-Azhar. Ketibaan baginda disambut dengan menyempurnakan Majlis Peletakan Batu Asas pembinaan projek. Bangunan ini masih dalam fasa pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Baginda telah dibawa melawat sekitar bangunan serta diberi taklimat pelan pembangunan oleh Mr. Ahmed El Attal, wakil syarikat pemaju projek. Baginda seterusnya berangkat ke bangunan Abbas El Akkad, 3 unit di bangunan tersebut milik Majlis. Pihak Majlis membeli bangunan di Mesir untuk dijadikan asrama pelajar bagi menampung permintaan kemudahan tempat tinggal oleh para pelajar anak Pahang yang menuntut di Mesir.