KUALA LUMPUR. 1 Oktober 2016 bersamaan 29 Zulhijjah 1437H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah diiringi bersama Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom mencemar duli berangkat tiba di Grand Ballroom, Mandarin Oriental Hotel bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran MyGift Universiti Malaysia Pahang. Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

MyGift UMP merupakan satu inisiatif oleh pihak universiti bagi tujuan tajaan pelajaran dan peningkatan mutu pelajaran untuk pelajar berprestasi tinggi. Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membantu pelajar kurang berkemampuan yang sedang menuntut di UMP. Tabung MyGift diperkenalkan pada tahun 2015 sebagai medium pihak luar, alumni dan industri untuk sama-sama menyumbang kepada tabung/ endowmen universiti. Sumbangan akan disalurkan kepada beberapa tabung/endowmen yang diwujudkan, antaranya Tabung Masjid, Bencana, Wakaf, Tidak Patuh Syariah, Komuniti, Ramadan, Endowmen Kursi, Kecemerlangan, Biasiswa Pelajar dan Kemudahan/Fasiliti.

Baginda diiringi KDYTM Tengku Mahkota Pahang berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada badan korporat. Antara penyumbang, NAZA Group, UMP Advanced Education, UMP Holdings, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, RHB, Etiqa Insurance, Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd, Matahari, Dimension Bid, Perodua serta Sohoniaga Sdn Bhd. Jumlah terkumpul Tabung MyGift UMP berjumlah RM13 juta. Pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang menyumbang sejumlah RM400 ribu untuk disalurkan dalam Tabung Wakaf bagi tujuan pembinaan Asrama MUIP-UMP untuk pelajar asnaf. KDYMM Tuanku Sultan berkenan menyumbang RM50 ribu untuk Tabung MyGift UMP.

Baginda juga turut diraikan dalam acara potong pulut kuning sempena hari keputeraan baginda.

Majlis Santapan/Jamuan Makan Malam ini dihadiri oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dan isteri, YB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob dan isteri, YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching, YBhg. Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, YBhg. Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Asma Ismail, YH Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Hilmey Mohd Taib, YH Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, Ahli Pemegang Amanah MyGift UMP serta Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan UMP.