KUANTAN. 2 Oktober 2016 bersamaan 1 Muharram 1438H – ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’ tema Sambutan Ma’al Hijrah 1438H yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Baginda diiringi bersama KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Titah baginda, Islam adalah agama yang menyatukan ukhuwah dan perpaduan bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama. ‘Firman Allah SWT, Surah Al-Hujurat (ayat 10) : Setiap orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat’. Pihak pemimpin politik, pemimpin agama juga pemimpin universiti hendaklah bersatu dalam membuat tinjauan mencari kelemahan yang ada bagi membina semula kesatuan. Baginda mengharapkan keberkatan sempena Ma’al Hijrah 1438H dapat memperbaiki diri, keluarga, negeri serta negara tercinta, Malaysia supaya berbaliklah kepada landasan untuk kebaikan generasi masa hadapan. KDYTM Tengku Mahkota Pahang baru berangkat pulang dari menunaikan ibadah umrah. Semasa di Raudhah, baginda berdoa kepada Allah SWT supaya kita terus berada dalam kesejahteraan, perpaduan dan bersatu padu. Sebelum itu, baginda telah menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Asrama Wisma Pahang milik Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang yang terletak di Kaherah, Mesir. Baginda berkesempatan bertemu pelajar dari Pahang yang menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha pihak Majlis Ugama Islam Pahang dan Yayasan Pahang membina bangunan khas untuk pelajar-pelajar anak Pahang yang menuntut di sana. Sebuah lagi bangunan dalam proses pembinaan.

Baginda berkenan menyampaikan beberapa anugerah kepada individu-individu yang terpilih. Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Pahang 1438H dianugerahkan kepada YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan juga merupakan Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang. Anugerah Inovasi Kakitangan (Kerajaan/Swasta/NGO dan Badan Berkanun/IPT), Puan Rosinayati Haji Yahya, Guru SMA Al-Ihsan, Kuantan. Anugerah Inovasi Jabatan (Kerajaan/Swasta/NGO dan Badan Berkanun/IPT), Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Amin, Berhala Gantang, Temerloh, Ustaz Wahid Ghaffar Ibrahim Al-Hafiz, Pengasas. Anugerah Mubaligh Saudara Baharu, Encik Mohd Fawzi Fong Abdullah, Kuala Lipis. Anugerah Perkampungan Orang Asli Islam Terbaik Negeri Pahang, RPS Buluh Nipis, Muadzah Shah. Anugerah Inovasi Pengkhidmat Agama, Encik Mohd Yusuf Haji Jalaludin dari Simpang Pelangai, Bentong.

Turut berangkat dalam majlis, YAM Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad dan YB Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad.