KUANTAN. 4 Oktober 2016 bersamaan 3 Muharram 1438H – Menzahirkan keprihatinan terhadap rakyatnya, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat mencemar duli ke tempat kejadian bagi melihat sendiri operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi lemas di Sungai Kuantan berhampiran perumahan Sungai Isap Damai. Beberapa minit selepas ketibaan baginda, mayat mangsa lemas, Alif Lokman Hakim Azman, 13 tahun, telah timbul di permukaan sungai kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh pada jam 11.00 pagi tadi.

Tragedi yang telah memasuki hari ketiga kejadian berlaku pada petang hari Ahad yang lepas. Mangsa, Alif Lokman Hakim Azman, pelajar Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran (MABIQ) telah tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai ketika sedang mencuci bajunya yang kotor selepas selesai memancing bersama-sama lima orang rakannya dan adik lelaki mangsa.

Baginda menyampaikan ucapan takziah dan berharap keluarga mangsa melaluinya dengan tabah di atas musibah yang menimpa. Bagi meringankan bebanan emosi yang ditanggung keluarga tersebut, baginda berkenan mengurniakan sumbangan bantuan wang tunai daripada pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang berjumlah RM1,000.00.