KUANTAN. 1 November 2016 bersamaan 1 Safar 1438H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Baru Merentasi Sungai Kuantan Menghubung Pusat Bandar Kuantan Ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur, di sini petang tadi.

Baginda mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dikepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof yang memberikan fokus bagi meningkatkan infrastruktur di negeri Pahang untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.

Titah baginda lagi, rakyat negeri ini sewajar bersyukur dengan pembinaan jambatan-jambatan di pelosok negeri ini termasuk rangkaian jalan raya dan lebuhraya di negeri Pahang berbanding tahun era 60-an.

“Saya masih ingat pada tahun 60-an, saya dan Paduka Ayahanda Tuanku Sultan terpaksa naik dua kali feri di Sungai Pahang di Pekan dan feri Sungai Kuantan untuk datang ke Bandar Kuantan,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Baru Merentasi Sungai Kuantan Menghubung Bandar Putra di Tanjung Lumpur.

Menurut Tengku Abdullah, selain mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di bandar Kuantan sejak akhir-akhir ini, jambatan baru yang bernilai RM161.438 juta ini akan memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi dengan pelbagai pembangunan di kawasan sekitar khususnya di kawasan Tanjung Lumpur. Pembinaan jambatan baru ini merupakan laluan alternatif bagi Jambatan Tanjung Lumpur yang sedia ada. Justeru itu, akan dapat melancarkan aliran trafik di Bandar Kuantan dan menjadi jalan penghubung terus dari Tanjung Lumpur ke Bandar Kuantan serta Bandar Indera Mahkota.┬áPada masa yang sama, baginda merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji balik pelan cadangan asal sebuah ‘Fly Over’ di persimpangan ke Bukit Setongkol yang telah ditiadakan dalam Projek Pembinaan Jambatan ini.┬áMenurut baginda, persimpangan tersebut akan berhadapan masalah kesesakan jika fly over yang dimaksudkan tidak dibina.

“Saya minta MB Pahang dan YB Menteri Kerja Raya sama-sama berusaha mencari peruntukan bagi merealisasi pembinaan fly over tersebut,” titah baginda.

Keberangkatan tiba baginda di tapak perasmian disambut oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Yang Berbahagia Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Sektor Dasar dan Pembangunan), Yang Berbahagia Dato’ Abdul Razak bin Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Yang Berbahagia Ir. Dr. Hasnul bin Mohammad Salleh dan Pengarah Kanan, Yang Berbahagia Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Abdul Rahman.

Turut hadir pada majlis tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Muhammad Safian bin Ismail, YB Yang Dipertua Dewan Undangan Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak bin Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar, YB Dato’ Sri Mohd Soffi bin Razak, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Jemaah Pangkuan Diraja dan Pegawai-Pegawai Kanan Pusat dan Negeri.

Pembinaan jambatan baru ini, dibina oleh kontraktor 100 peratus bumiputera, Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) akan mengambil masa tiga tahun dan dijangka siap Ogos 2019.

Sebagai gimik perasmian, Tengku Mahkota Pahang menaiki jengkaut dan melakukan pecah tanah disaksikan Menteri Kerja Raya, Menteri Besar dan tetamu-tetamu yang hadir di majlis tersebut.