KUANTAN. 18 November 2016 bersamaan 18 Safar 1438H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencemar duli berangkat hadir ke Majlis Santapan/Jamuan Makan Malam sempena Majlis Konvokesyen Ke-11 Universiti Malaysia Pahang (UMP), di Hotel Zenith, dekat sini, malam tadi. Keberangkatan tiba Tuanku Canselor UMP tepat jam 8.30 malam disambut oleh Naib Canselor UMP, Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Daing Mohd Nasir bin Daing Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Yang Hormat Dato’ Sri Dr. Haji Mohd Hilmey bin Haji Mohd Taib dan Timbalan Naib Canselor UMP, Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Rosli bin Mohd Yunus dan isteri. Turut memuliakan keberangkatan Tuanku Canselor, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob dan YB Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mutalib.

Pada majlis yang sama, UMP turut meraikan dua orang penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Automotif), Datuk Aminar Rashid bin Salleh dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Mechatronic), Prof. Dr Mizer Reactor Hoscular dari University German. Pagi esok akan berlangsung Majlis Konvokesyen Ke-11 UMP di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang, yang akan disempurnakan oleh Tuanku Canselor.