SELANGOR. 22 November 2016 bersamaan 22 Safar 1438H – “Semangat jitu seiring dengan iltizam yang tinggi merupakan tangga kejayaan kepada koperasi. Kepada koperator, tambah ilmu, bacalah bahan-bahan berkenaan teknologi-teknologi yang baru, perkara-perkara berkaitan pertanian serta ilmu dalam bidang yang diceburi, carilah pengalaman, berkongsilah sumber modal, rancanglah kegiatan dengan baik, berusahalah untuk mencapai sasaran serta berdoalah ke hadrat Allah SWT supaya apa yang diusahakan dapat membuahkan hasil yang halal sebagaimana yang diharapkan,” titah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersempena Majlis Perasmian Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan Tahun 2016.

Konvensyen yang berlangsung selama dua hari ini bertujuan menyebarluaskan maklumat mengenai gerakan koperasi dan membantu meluaskan jaringan perniagaan antara Koperasi Kariah Masjid. Penyertaan konvensyen yang memasuki tahun ke-3 penganjurannnya melibatkan penyertaan seramai 300 orang koperator dari seluruh negara, 7 orang dari Acheh dan 2 orang dari negara Kemboja.
KDYTM Tengku Mahkota Pahang berkenan melancarkan E-KopMas, satu aplikasi yang dibangunkan khas untuk koperasi kariah masjid serta untuk pengguna luar mendapatkan maklumat mengenai koperasi kariah masjid dengan lebih mudah. Dengan adanya aplikasi ini, ianya akan memudahkan interaksi di antara pengguna dan juga di kalangan koperasi kariah itu sendiri dalam menyebarkan maklumat serta membuat transaksi jualan dan belian atas talian. Ianya juga mempunyai perincian tambahan yang lain bagi memudahkan akses koperasi mengemaskini maklumat koperasi serta mengandungi kemudahan ke beberapa capaian web tertentu.

Baginda juga turut berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Skim Infaq Lil-Waqaf ANGKASA berjumlah RM790,800.00, merupakan pembelian 18 buah mesin dialisis yang diberikan kepada koperasi dan hospital terpilih sepanjang tahun 2015/2016.

Majlis juga dihadiri oleh YH Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman, Yang Mulia Kerabat-Kerabat, YB Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin, Yang Hormat Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, YBhg. Ketua-Ketua Jabatan, YBhg. Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Barisan Ahli Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan dan Pengurusan Kanan ANGKASA serta para peserta konvensyen daripada wakil koperasi Malaysia, Acheh serta negara Kemboja.