KUANTAN. 26 November 2016 bersamaan 26 Safar 1438H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencadangkan Persatuan Catur Malaysia berusaha bagi memasukkan sukan catur dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

Menurut Tengku Abdullah, jika catur dapat dipertandingkan diperingkat remaja menerusi SUKMA, baginda yakin sukan catur lebih cepat dapat pengiktirafan diperingkat antarabangsa.

Di samping itu, baginda turut menyokong hasrat Persatuan Catur Negeri Pahang untuk melangkah maju setapak lagi bagi menganjurkan pertandingan catur peringkat Asia bagi merebut Piala Asia di negeri Pahang.

Namun begitu, baginda menasihatkan supaya Persatuan Catur Negeri Pahang dapat membuat persiapan rapi bagi mempertingkatkan permainan catur itu sendiri.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika menyempurnakan Kejohanan Catur Berpasukan Antara Negeri, di Hotel MS Garden, dekat sini, pagi tadi.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Pengerusi Persatuan Catur Negeri Pahang, Puan Hamidah binti Abdul Hamid dan barisan ahli jawatankuasanya.

Turut memuliakan keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, YB Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang, Dato’ Haji Mohd Johari bin Hussin, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, YB Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Sri Haji Abdul Manan bin Ismail, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia merangkap Naib Presiden Catur Malaysia, YH Dato’ Mohd Nazifudin bin Dato’ Sri Mohd Najib, Ketua Polis Pahang, YH Dato’ Sri Mohd Sharifuddin bin Abdul Ghani dan Pegawai Daerah Kuantan, Encik Zaliza bin Zulkipli.

Selepas menyempurnakan pengurniaan cenderamata kepada pengurus-pengurus pasukan, Tengku Mahkota Pahang beredar bagi majlis memperkenalkan peserta pertandingan.

Baginda turut berkenan mempamerkan bakat bermain catur bagi menentang YH Dato’ Mohd Nazifudin bin Dato’ Sri Mohd Najib.

Kejohanan kali ini melibatkan seramai 150 orang dalam kategori wanita dan terbuka dengan penglibatan pasukan-pasukan dari 11 buah negeri. Antara negeri yang menghantar pasukan adalah negeri Pahang, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak dan Sabah juga pasukan yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.