SELANGOR. 1 Disember 2016 bersamaan 1 Rabiulawal 1438H – “Visi IVFKasih membantu pasangan berkahwin yang sukar untuk memperoleh zuriat tidak menangguhkan proses menerima rawatan dengan dirawat dalam usia muda tanpa memikirkan tekanan kos perbelanjaan yang tinggi merupakan usaha yang patut diberi pujian kepada Dr. Wong dan ahli kumpulannya. Menerusi Program IVFKasih dapat membantu pasangan berkahwin dengan mendapatkan rawatan fertiliti yang menawarkan harga rendah. Baginda amat memahami tekanan yang dialami oleh pasangan berkahwin untuk memiliki cahaya mata melalui pengalaman yang dialami oleh baginda sendiri”, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian IVFKasih yang berlangsung di Klinik Pakar Kesuburan Kasih, Shah Alam.

KDYTM Tengku Puan Pahang juga merupakan Presiden Seumur Hidup, Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF). Sebuah yayasan yang diasaskan oleh baginda bagi membiayai kewangan kepada pasangan berkahwin yang sukar mendapatkan zuriat menjalani rawatan In-Vitro Fertilisation (IVF). Baginda diiringi YBhg. Dr. Wong Pak Seng, Pengarah Perubatan Sunfert serta YBhg. Dr. Norazlin Rosli, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Klinik Pakar Kesuburan Kasih bertemu tiga pasangan suami isteri yang menjalani Program IVFkasih bersama-sama anak masing-masing. Baginda turut berkenan bercemar duli melawat ruangan dalam klinik dan melihat kemudahan-kemudahan perubatan yang disediakan oleh pihak pengurusan.

Klinik Pakar Kesuburan Kasih yang menjalankan Program IVFkasih bermatlamat membantu lebih ramai pasangan berkahwin memperoleh zuriat dalam usia yang muda. Berkos rendah namun menggunakan pendekatan unik dan inovatif untuk mengurangkan kos perbelanjaan tanpa menjejaskan kadar kehamilan. IVFkasih akan membawa satu revolusi kepada dunia rawatan fertiliti di Malaysia, dengan menjadikan rawatan kesuburan lebih terbuka pada harga mampu milik kepada semua lapisan masyarakat. Pakej eksklusif dengan caj RM7,500.00 merangkumi kos perubatan dari permulaan rawatan IVF sehingga ke hari ujian kehamilan, kos makmal meliputi ‘ICSI’, ‘Laser-Assisted Hatching’ dan ‘Blastocyst Culture (jika diperlukan), kos pembekuan embrio, kejururawatan, bilik pemulihan serta kos konsultasi doktor pakar.