PEKAN 5 DIS – KDYTM Tengku Mahkota Pahang bercemar duli berangkat ziarah jenazah tiga beradik di Rumah Mayat Hospital Pekan, malam semalam. Kanak-kanak malang tersebut, Nor Aleeza Marliyana bt. Mohd Rasid, 12 tahun,Mohamad Firdaus bin Mohd Rasid,11 tahun dan Nor Alia Mardiana bt. Mohd Rasif,7 tahun. Ketiga beradik pelajar Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya. Ketiga-tiga mayat kanak-kanak tersebut dijumpai oleh bapa mereka dan jiran-jiran lewat petang semalam.

Dari siasatan yang di jalankan dapati pada jam lebih kurang 2.00 ptg, ketiga-tiga mangsa telah keluar dari rumah pergi memanching ditempat kejadian, lebih kurang 300 meter dari rumah mereka. Disebabkan anak tidak balik pada jam 3 ptg , bapa mangsa, Mohd Rasid bin Md Daud, 49 tahun, keluar ketempat anak-anaknya memanching. Apabila sampai ditempat kejadian, beliau telah nampak anak perempuan yang berumor 12 tahun terapong kaku diparit tersebut.

Menurut laporan yang dibuat, Bapa mangsa telah mengangkat sendiri anaknya ketebing dan kemudian minta bantuan jiran-jiran bagi mencari dua orang lagi anaknya yang disyaki turut lemas di dalam parit tersebut. Dengan bantuan orang-orang kampung, kedua-dua mangsa berjaya dijumpai didalam air parit yang dianggarkan kedalaman 6 kaki. Ketiga tiga mayat dibawa balik kerumah mereka oleh orang ramai sebelum kesemua mayat dibawa ke hospital Pekan untuk bedah siasat.

Sebaik kejadian, KDYTM Tengku Mahkota telah disembah maklum, dan baginda berhasrat berangkat ke tempat kejadian. Namun begitu, setelah dimaklum mayat ketiga beradik telah ditemui, baginda mengambil keputusan berangkat ziarah mangsa di rumah mayat Hospital Pekan. KDYTM Tengku Mahkota Pahang diiringi paduka anakanda, YM Tengku Amir Nassir Ibrahim tiba di rumah mayat Hospital Pekan tepat jam 9.00 malam. Sebaik tiba, Baginda menemui ibubapa mangsa di perkarangan rumah mayat.

Turut berada menyambut keberangkat tiba Tengku Mahkota, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bebar, YB Dato’ Fakharuddin Mohd Ariff, Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Ali Sabana, Pengarah Hospital Pekan, YH Dato’ Dr Daud, Ketua Polis Daerah Pekan, Setiausaha MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi, Kadi Daerah Pekan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan ahli keluarga mangsa.

Sebelum berangkat pulang, KDYTM Tengku Mahkota Pahang berkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda dan juga sumbangan MUIP kepada bapa mangsa. Ketiga-tiga jenazah disempurnakan mandi dan dikapankan di rumah mayat Hospital Pekan. Manakala solat jenazah di Surau Hospital Pekan sebelum dibawa pulang ke Kampung Mechong untuk dikebumikan dalam satu liang lahat.