KUALA LUMPUR 11 Disember 2016 bersamaan 12 Rabiulawal 1438H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang bercemar duli berangkat pada Majlis Makan Malam Amal “Riding For The Disabled Association Malaysia (RDA)” di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi. Keberangkatan tiba baginda, disambut Pengerusi RDA, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Haji Abdul Aziz bin Abdul Rahman dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Malam Amal. Ketika menyampaikan titah diraja, baginda menzahirkan rasa bersyukur kehadrat Allah Subhanawatalla kerana dengan izinNya jua baginda dapat memenuhi undangan menerusi Pengerusi dan barisan jawatankuasa RDA untuk hadir pada majlis tersebut.

Menurut baginda, walaupun banyak komitmen lain, namun baginda meletakkan keutamaan untuk hadir khusus meraikan kanak-kanak istimewa yang hadir bersama ibubapa masing-masing. Titah baginda, sekalipun tidak lagi aktif dalam sukan berkuda dan sukan-sukan lain termasuk bolasepak namun baginda amat teruja untuk hadir setiap majlis-majlis amal yang dianjurkan. Menurut Tengku Mahkota Pahang, kini jiwa dan raga baginda lebih sesuai terhadap program-program kebajikan dan Amal khususnya dalam pendidikan menerusi Akademi Menara Gading dibawah yayasan baginda sendiri iaitu Yayasan Istana Abdulaziz.

Titah baginda, jika ada keperluan, RDA juga boleh berkerjasama dengan Akademi Menara Gading yang memiliki kepakaran dalam bidang pendidikan yang mendapat kerjasama Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mungkin dapat membantu meningkatkan pembelajaran kepada anak-anak istimewa.

“Kehadiran saya disini, Selain dapat berkongsi cerita dan pengalaman, saya juga boleh bersama-sama menyumbang serba sedikit buah fikiran demi kemajuan persatuan ini termasuk menyumbang kewangan”, titah Tengku Mahkota Pahang yang enggan mengumumkan jumlah yang dikurniakan kepada RDA. Selain sumbangan kewangan, baginda turut menawarkan dua atau tiga ekor kuda kesayangan baginda untuk jagaan dan kegunaan aktiviti ahli-ahli RDA. Diakhir titah, baginda mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi dan barisan jawatankuasa termasuk sukarelawan yang sentiasa aktif dan komited dalam kerja-kerja amal.

Turut hadir, mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Yang Berbahagia Tan Sri Datin Paduka Hajah Zaleha Ismail dan Pengerusi Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan (MAKPEN), Yang Hormat Dato’ Setia Amar Segara, Dato’ Sri Haji Halim bin Haji Ibrahim.