KUANTAN. 12 Disember 2016 bersamaan 12 Rabiulawal 1438H – Sambutan Maulidur Rasul 1438H bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Majlis sambutan dimulai dengan perarakan daripada para kontijen yang mewakili agensi serta jabatan masing-masing. Para kontijen berkumpul seawal pagi di Padang Telok Sisik, Taman Gelora. Pada jam 7.30 pagi perarakan bermula sambil berarak mereka berselawat ke atas junjungan Rasulullah SAW dan turut membawa sepanduk masing-masing menuju ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di mana acara seterusnya akan berlangsung.

Di dewan, keberangkatan KDYTM Tengku Mahkota Pahang disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail dan YB Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad. Baginda turut berkesempatan mendengar ceramah yang disampaikan oleh YH Dato’ Ustaz Haji Badli Shah Alauddin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang.

Baginda berkenan mengurniakan Anugerah Maulidur Rasul Negeri Pahang Darul Makmur 1438H kepada beberapa individu. Mereka dikurniakan wang tunai berjumlah RM3,000.00. Antaranya penerimanya : i) Encik Doud @ Daud bin Talib, pesara kerajaan dari Kampung Merapoh, Kuala Lipis. ii) Tuan Haji Mat Ali @ Ibrahim bin Rasu, pesara kerajaan dari Kampung Jambu, Pekan. iii) Encik Liman bin Mat, pengajar ilmu agama di surau dari Kampung Tambang Endau, Kuala Rompin. iv) Encik Adnan bin Majid, Penerbit Rancangan di Jabatan Penyiaran RTM dari Permatang Badak, Kuantan. 

Selain itu juga, baginda turut mengurniakan kepada para pemenang bagi pertandingan sepanduk melibatkan tiga kategori dipertandingkan. Bagi kategori Jabatan Kerajaan, tempat pertama dimenangi oleh Jabatan Perhutanan, naib juara Jabatan Bomba dan Penyelamat manakala tempat ketiga oleh Jabatan Perancangan Bandar. Bagi kategori Badan Berkanun, johan, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, kedua, Yayasan Pahang dan tempat ketiga dimenangi oleh Pusat Kutipan Zakat Pahang. Manakala kategori yang diwakili oleh Institusi Pengajian Tinggi/Sekolah telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, kedua, Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan ketiga oleh Madrasah Kamaliah. Johan menerima wang tunai berjumlah RM2,500.00, naib johan RM2,000.00 dan tempat ketiga RM1,500.00.

Majlis sambutan turut dihadiri oleh YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta kakitangan-kakitangan jabatan yang mewakili jabatan masing-masing dalam perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1438H pada kali ini.