SELANGOR. 14 Disember 2016 bersamaan 14 Rabiulawal 1438H – “Penubuhan Sewing World dapat memberi impak positif dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pelancongan dan kraftangan bagi membangunkan ekonomi serta memperkasakan kehidupan masyarakat”, titah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj semasa baginda berangkat mencemar duli di Majlis Perasmian Sewing World yang berlangsung di Sky Park@One City, Subang. Majlis anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) bertemakan ‘Sewing World, Gerbang Kesejahteraan Rakyat’.

KDYTM Tengku Puan Pahang yang juga selaku Penaung PSJK berkenan mengurniakan Sijil Kemahiran Malaysia kepada 226 orang pelajar bersempena dengan Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Kraftangan Epal (PLKE). Para pelajar tersebut terdiri daripada golongan wanita, ibu tunggal, suri rumah, belia dan pesara yang mengambil jurusan Seni Jahitan Kreatif. Turut hadir, YB Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Haji Ismail Haji Abd Mutalib, Pengerusi PSJK, Puan Fully Chye Goet Lee serta wakil-wakil agensi yang terlibat dalam usahasama merialisasikan pembangunan Sewing World.

Pembukaan Sewing World hasil kejayaan PSJK bersama-sama agensi seperti PLKE, Koperasi Dagang Seni Malaysia, Mostwell Sdn. Bhd. dan Yayasan Inovatif Mostwell. Dibangunkan atas dasar prinsip kasih sayang, berobjektif bagi berjuang untuk kepentingan dan manfaat masyarakat, negara serta industri. Selain mempelajari kemahiran seni jahitan kreatif, masyarakat berpeluang menjadi usahawan dalam Program Peningkatan Sosio-ekonomi melalui PSJK Handmade Market.

Di Sewing World, ratusan karya seni dipamerkan memberi ruang kepada para pengunjung mencari idea menghasilkan karya baharu serta mempelajari dan menikmati seni jahitan. Sewing World turut mempamerkan seni yang tercatat dalam Guinness World Record (GWR) antaranya, Beg Terbesar Di Dunia dihasilkan dengan menggunakan kemeja terpakai hasil sumbangan orang ramai serta usahasama 31 jabatan kerajaan dan NGO seperti Persatuan Wanita Tamil dan Persatuan OKU Anggota Melayu Kuala Lumpur. Selain itu juga, dipamerkan Menjahit Beramai-ramai Secara Serentak untuk mempromosikan batik Malaysia oleh PSJK, PLKE dan Perbadanan Putrajaya serta mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Karya-karya yang diiktiraf dalam GWR membawa mesej kasih sayang dan perpaduan.