PEKAN. 26 Disember 2016 bersamaan 26 Rabiulawal 1438H – Akademi Menara Gading (AMG) yang dinaungi oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah melebihi sedekad dianjurkan berobjektif bagi membentuk budaya jati diri serta disiplin pelajar, melatih dan menguji ketahanan mental, fizikal juga spiritual, selain itu juga bagi melatih kerjasama secara berpasukan dan mengaplikasi pengurusan masa efektif dalam pembelajaran. Semenjak penubuhannya pada tahun 1999, AMG telah membantu seramai 787 orang melanjutkan pengajian ke menara gading dalam pelbagai bidang pengkhususan di mana terdapat sebilangannya telah pun bekerja di sektor awam dan juga bidang profesional.

Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj menjunjung kasih kepada paduka ayahanda KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan bonda KDYTM Tengku Puan Pahang yang telah menubuhkan Yayasan Istana Abdulaziz (YIA) bagi bersama-sama menyumbang usaha murni ke arah kemakmuran umat Islam dan agama khususnya di negeri Pahang.

Program AMG merupakan program utama YIA yang terbukti mampu membantu pelajar-pelajar miskin, anak yatim dan orang Asli menjejakan kaki ke menara gading dalam dan luar negara. Kejayaan yang mereka perolehi dapat membantu keluarga meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera.

YM Tengku Hassanal bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Kem 4 : Waja Diri dan Pengurusan Masa. Penganjuran kem ini dengan kerjasama beberapa pihak antaranya Yayasan Istana Abdulaziz, Kem Rejimen Wataniah 505, Yayasan KOSMA, Yayasan Bank Rakyat serta Universiti Kebangsaan Malaysia diadakan bertempat di Kem Wataniah Rejimen 505, Sungai Miang adalah merupakan salah satu daripada 8 modul yang terdapat dalam AMG Kohort IX sesi 2016/2018. Modul-modul yang dirangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun bermula daripada tingkatan 4 hingga tingkatan 5 bagi memastikan mereka mendapat latihan serta bimbingan yang secukupnya agar mereka beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Penganjuran kem ini berteraskan latihan intensif ketenteraan selama 5 hari bertujuan bagi membentuk daya tahan fizikal, mental dan spiritual serta pengurusan masa untuk membentuk sahsiah individu yang cemerlang untuk diaplikasikan dalam mencapai keputusan akademik yang cemerlang pada peperiksaan SPM tahun 2017.

Para peserta bertuah kerana mendapat bimbingan secara berterusan menerusi program multi intervention AMG oleh pelbagai pihak, pensyarah dan guru-guru pakar.

YM Tengku Hassanal menasihatkan para peserta tidak seharusnya menjadikan latar belakang, kemiskinan dan persekitaran sebagai alasan untuk tidak berjaya. Ramai kejayaan orang-orang tersohor dalam pelbagai bidang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan. Antaranya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary seorang usahawan Melayu terkaya di Malaysia, Coco Chanel pemilik jenama fesyen terkenal, Christiano Ronaldo seorang pemain bola sepak terkenal di dunia dan juga Mark Zuckerberg pengasas Facebook. Kegigihan dan passionate yang tinggi tentang apa yang diusahakan akan membuahkan kejayaan.

Sebelum mengakhiri titahnya, YM Tengku Hassanal berpesan dan mengingatkan kepada para peserta agar apabila mengecapi kejayaan kelak, jangan lupa membantu ibu bapa dan keluarga serta mengenang budi kepada orang yang berjasa kepada mereka. Menabur budi dan berbakti untuk membantu keluarga atau pelajar yang kurang bernasib baik khususnya di negeri Pahang.

Bagi meneruskan kelangsungan kejayaan AMG, penubuhann Alumni AMG dilaksankan bagi membuat kerja-kerja komuniti dalam bidang pendidikan.

YM Tengku Hassanal mengucapkan penghargaan terima kasih kepada warga kem yang sentiasa membantu menjayakan program AMG serta ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Akademi Menara Gading. Hadir sama, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, YB ADUN Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, YH Pengurus Besar Yayasan Istana Abdulaziz, Dato’ Abdul Munir Abdul Basit dan YH Pengurus AMG, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Razaq Ahmad.