KUANTAN 27 Dis 2016 bersamaan 27 Rabiul Awal 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengzahirkan ucapan takziah kepada anggota keluarga bekas pemain bolasepak Negeri Pahang era 70-an, Haji Abdullah bin Akil,69 tahun yang meninggal dunia, di sini, awal pagi tadi.

Ucapan Takziah tersebut disampaikan oleh paduka anakanda baginda, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj yang berangkat menemui balu dan anak-anak Allahyarham Abdullah, petang tadi.

Yang Mulia Tengku Hassanal turut menyampaikan sumbangan daripada paduka ayahandanya kepada balu Allahyarham.

Menurut isteri Allahyarham, Hajjah Nazifah Abdullah, 62, beliau tersedar dari tidur dan mendapati suaminya dalam keadaan sakit dan mengejutkan anaknya untuk menghubungi ambulans.

Katanya, Abdullah yang telah dikesan ada masalah saluran darah ke Jantung tersumbat sejak dua minggu lalu sempat mendapat rawatan kecemasan di HTAA.

Bagaimanapun, katanya doktor mengesahkan suaminya telah meninggal dunia kira-kira 1.30 pagi.

Menurut Nazirah, Allahyarham Abdullah selaku Bendahari Masjid Hidayah, Permatang Badak, Kuantan menghadiri program Aleppo Syria di masjid Hidayah malam tadi.

Abdullah, yang pernah beraksi sebagai pemain tengah skuad Pahang itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Rangin, di sini pada jam 11 pagi.

Allahyarham Abdullah meninggalkan seorang isteri, lapan anak dan 13 orang cucu.

Sepanjang kerjaya sebagai pemain bola sepak Pahang, Allahyarham Abdullah pernah membantu Pahang muncul juara Piala Emas Raja-Raja pada 1979 dan pernah menjawat jawatan sebagai EXCO Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), penolong setiausaha dan penolong bendahari PBNP.