ROMPIN. 3 Januari 2017 bersamaan 4 Rabiulakhir 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat mencemar duli sempena Lawatan Operasi Ladang Kelapa di Kampung Kerpal dan Kilang Kelapa di Kampung Gading. Ladang kelapa milik Syarikat Ambang Perintis Sdn. Bhd. merupakan ladang kelapa terbesar di Malaysia dengan keluasan 404 hektar yang ditanam dengan pelbagai jenis kelapa antaranya Kelapa Matag, Pandan dan Mawa.

Pengarah bersama syarikat, YH Dato’ Dr. Haji Abd Wahid bin Abd Manap menyatakan dalam taklimat ringkas beliau kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang, sasaran syarikat pada tahun ini menjangkakan jumlah pengeluaran mencecah 6 juta biji berbanding dua tahun lepas dengan produktiviti semasa sebanyak 3 juta biji sahaja. Buah Kelapa Pandan menerima permintaan yang tinggi berbanding buah kelapa yang lain berikutan aromanya yang wangi apabila diminum begitu sahaja. Syarikat yang memulakan operasi pada tahun 2009 dengan konsep sewa pajak daripada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah memperolehi hasil pertama selepas 4 tahun beroperasi. Produk keluaran ladang tersebut pada masa ini terhad untuk pasaran tempatan sahaja. Selain mengeluarkan produk minuman, air yang diproses menjadi produk premium seperti jeli kelapa. Bagi meningkatkan produktiviti syarikat serta menjana pendapatan tambahan kepada penduduk, pihak syarikat bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan penduduk setempat di mana mereka akan diberi benih kelapa untuk diusahakan ditanah masing-masing dan hasilnya akan dijual kepada syarikat.

KDYMM Pemangku Raja Pahang berkesempatan meluangkan masa beramah mesra bersama-sama masyarakat orang Asli di kampung itu. Tok Batin Kampung Kerpal, Lintok bin Gam mengadap baginda sempena keberangkatan baginda di kampung tersebut. Baginda juga meluangkan masa untuk mendengar beberapa perkara yang disampaikan oleh penduduk serta menitahkan YB ADUN, Ahli Parlimen dan Pegawai Daerah mengambil tindakan memenuhi permohonan masyarakat orang Asli Kampung Kerpal. Baginda mengurniakan sejumlah RM5,000.00 kepada Pengerusi JKKK Kampung Kerpal dan turut meraikan kehadiran kanak-kanak dengan pengurniaan sumbangan wang.

Baginda turut mengingatkan dalam menghadapai musim tengkujuh ini, para ibu bapa hendaklah peka dengan aktiviti anak-anak dengan menjauhi aktiviti di laut, sungai dan longkang besar yang boleh mengakibatkan kejadian lemas dan sebagainya. Baginda menitahkan diadakan solat hajat supaya mendoakan tidak berlaku bencana banjir besar di negeri ini.

Turut hadir mengiringi baginda, YB Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Hasan bin Arifin, YB ADUN Muadzam Shah, Dato’ Sri Maznah binti Mazlan serta Pegawai Daerah Rompin, Encik Mohd Zulkifli bin Hashim.