KUANTAN.17 Januari 2017 bersamaan 18 Rabiulakhir 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menghulurkan sumbangan kepada pengurusan dan pelajar Pusat Pendidikan Islam an-Nuur yang terjejas akibat kebakaran membabitkan bangunan asrama mereka di Kampung Kuala Penor, semalam.

Sumbangan RM46,300 itu telah disampaikan oleh paduka anakanda baginda, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj di Masjid Pusat Tahfiz berkenaan. Setiap pelajar menerima wang tunai RM300 manakala RM5,000 untuk pengurusan tahfiz melalui Yayasan Istana Abdul Aziz dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang masing-masing dinaungi Tengku Abdullah.

Terdahulu pada malam kejadian kelmarin, Tengku Hasanal turut hadir melawat lokasi kejadian bagi meninjau keadaan pelajar. Sementara itu, mudir tahfiz, Mohd Zaki Mohd Zulkafali berkata, kesemua harta benda termasuk kelengkapan bilik asrama dan kelengkapan pelajar di tingkat dua bangunan terbabit hangus terbakar. Menurutnya, kos kerugian dianggarkan melebihi RM400,000 dan tingkat bawah tidak selamat untuk diduduki atas nasihat pihak bomba.

“Buat sementara waktu, semua pelajar lelaki terlibat ditempatkan di tingkat atas masjid. “Terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan terutama pihak istana melalui Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj”katanya. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Inderapura, YB Dato’ Shafik Fauzan Shariff, Pegawai Daerah Kuantan, Ketua Polis Daerah Kuantan, Timbalan Pengarah JAIP, Pegawai JKM Daerah Kuantan, Kadi Daerah Kuantan dan Setiausaha MUIP.