KUANTAN. 17 Januari 2017 bersamaan 18 Rabiulakhir 1438H – Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengharapkan sentuhan magis daripada Jurulatih Pahang yang baharu, Dollah Salleh bagi membantu Pahang kembali bangkit menjadi pasukan yang bagus dan bersaing dalam Liga Super Malaysia 2017 yang akan membuka tirai tidak berapa lama lagi. Kehadiran YAM Tengku Muda turut disertai bersama-sama Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah sempena Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Pahang 2017 berlangsung di Cashmere Ballroom, The Zenith Hotel.

Pada majlis tersebut, pasukan Pahang buat kali pertama tampil dengan jersi baharu tajaan Jako. YAM Presiden PBNP berterima kasih kepada para penaja, terutamanya Jako yang sedia untuk terus bersama-sama pasukan Pahang mengharungi musim ini. Turut hadir, YB Timbalan Presiden PBNP, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, wakil-wakil penaja, para pegawai serta pemain-pemain pasukan Pahang.

Pasukan Bola Sepak Pahang bagi musim 2017 ini akan dibarisi oleh para pemain antaranya :
Penjaga Gol: Mohd Helmi Eliza Elias, Mohd Saufi Mohamad dan Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Pertahanan: Mohd Saifulnizam Miswan, R Dinesh, Mohd Afif Amiruddin, Muhammad Zubir Azmi, Muslim Ahmad, Matthew Thomas Davies, Muhamad Ashar Al-Aafiz dan Heo Jae Won.

Pemain Tengah: Mohd Ashari Samsudin, Christie Jayaseelan, Mohd Faisal Mohd Halim, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Francisco Insa Bohigues, Ahmad Syamim Yahya, Joseph Kalang Tie, Mohd Faisal Mohd Rosli, Muhamad Nurridzuan Abu Hassan Shaari, Ahmad Nordin Alias, Mohd Nor Azam Azih, Salomon Raj dan Mohamadou Sumareh.

Penyerang: R Kogileswaren dan Julius Oiboh.