KUANTAN. 20 Januari 2017 bersamaan 21 Rabiulakhir 1438H – Sasaran 15 juta pelancong melawat serta menikmati keindahan destinasi-destinasi menarik yang terdapat di negeri Pahang bersempena dengan Tahun Melawat Pahang 2017 disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertempat di Perkarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC). Keberangkatan baginda diiringi bersama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan paduka-paduka anakanda puteri dan puteri.

Tengku Abdullah dalam titah perasmian meminta semua agensi kerajaan dan pihak yang terbabit dalam industri pelancongan mengambil peluang penganjuran TMP17 untuk mencapai sasaran ditetapkan iaitu 15 juta pelancong tahun ini.

“Beta berharap semua pihak memainkan peranan dalam memperkenalkan dan mempromosikan negeri Pahang dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Bagi mereka yang bertanggung jawab memastikan keselesaan dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke sini… pastikan infrastruktur disediakan dalam keadaan baik.

“Jaga kebersihan di lokasi tumpuan pelancong bagi mengelak masalah penyebaran penyakit berjangkit, contohnya, denggi dan penyakit kencing tikus yang dikhuatiri boleh mengakibatkan pelancong tidak berminat untuk ke sini,” titah baginda.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Pejabat Kementerian dan Pelancongan Malaysia negeri, Tourism Malaysia Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman bermula jam 8 malam.

Majlis dimulakan dengan persembahan kebudayaan membabitkan 120 penari yang memaparkan kebudayaan dari 11 daerah di negeri ini selama 45 minit oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri memukau pengunjung.

Kemuncak majlis itu adalah persembahan interaktif digital menggabungkan animasi dan manusia menampilkan olahragawan negara yang juga anak jati Pahang, Mohd Al Jufri Jamari.

Seramai lapan artis terkenal tanah air turut membuat persembahan pada majlis berkenaan antaranya Dafi, Rosma AF, Roslan Madun, Ameng, Ippo Hafiz, Naz dan Arif Kilauan Emas.

Turut menyerikan lagi majlis berkenaan ialah persembahan tarian tradisional Pahang oleh kumpulan Anak-Anak Semantan.

Walaupun hujan lebat tidak ianya bukan penghalang kira-kira 5,000 pengunjung memeriahkan majlis berkenaan.

Pada majlis yang sama, lintasan langsung melalui siaran video dialog antara Yang Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Pemangku Raja Pahang yang dipapar terus di layar gergasi di hadapan pentas utama.

Antara perbualan ringkas, Perdana Menteri mengucapkan syabas dan tahniah diatas usaha-usaha yang kerajaan Pahang mempromosi TMP17. Beliau yakin sasaran 15 juta pelancongan melawat Pahang akan tercapai.

Bagi menarik penyertaan pelancong luar negara melawat Pahang, beberapa aktiviti telah dirancang melibatkan penyertaan antarabangsa. Antara acara yang akan diadakan adalah Sultan Ahmad Shah Tioman International Eco Challenge 2017, Pahang International Marathon 2017, Fraser’s International Bird Race Competition dan Royal Pahang Billfish International Challenge. Selain penganjuran aktiviti-aktiviti yang menarik, Pahang dijangka akan dipilih sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dengan adanya tarikan-tarikan yang terdapat di negeri Pahang seperti tanah tinggi, pulau dan pantai, alam semulajadi, kebudayaan dan makanan yang unik.

Satu aplikasi percuma iaitu Visit Pahang disediakan kepada pengunjung-pengunjung yang ingin mendapatkan informasi pelancongan di negeri Pahang boleh mendapatkannya melalui Apple Store atau Google Play.

Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah turut ada bersama memeriahkan majlis tersebut. Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Saffian bin Ismail, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Ishak bin Muhammad, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Muttalib dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Pahang.