CAMERON HIGHLANDS 21 Januari 2017 Bersamaan 22 Rabiulakhir 1438H – Cuaca buruk sepanjang hari ini bukan menjadi penghalang kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah untuk menemui rakyat baginda yang ditimpa musibah dalam satu kebakaran deretan 9 buah kedai termasuk gerai-gerai di Kea Farm, Brinchang, dekat sini, lewat petang tadi.

Mengikut perancangan awal, Baginda akan menaiki helikopter dari Kuantan ke Kuala Lipis jam 11.00 pagi bagi menghadiri Majlis Perkahwinan anakanda kepada Orang Besar Berlapan Istana dan kemudiannya meneruskan penerbangan ke Tanah Rata, Cameron Highlands. Bagaimanapun, Baginda mengambil keputusan meneruskan perjalanan menaiki motokar rasmi mengikut jalan darat yang dalam keadaan hujan lebat sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira enam jam untuk sampai di Brincang.

Tengku Abdullah, berangkat tiba di Majlis Perjumpaan dan Pengurniaan Sumbangan kepada mangsa kebakaran di Brinchang jam 6.00 petang. Sebaik tiba, majlis di mulakan dengan bacaan doa dan persembahan taklimat ringkas oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands mengenai kebakaran yang berlaku 12.55 pagi semalam. Menurut , punca kebakaran tersebut masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia.

Pemangku Raja Pahang turut bertitah, baginda melahirkan rasa dukacita dan simpati baginda sekeluarga dan juga paduka ayahanda baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dengan musibah yang menimpa peniaga dalam kebakaran tersebut. Baginda seterusnya, menasihati mangsa-mangsa terlibat bersabar dan memberi ruang yang secukup kepada pihak kerajaan merancang pelan pembangunan semula di kawasan tersebut dengan lebih teratur tanpa berkompromi soal-soal keselamatan dan keselesaan.

Titah baginda lagi, sempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP17), baginda menitahkan kepada semua peniaga dan warga Cameron Highlands supaya memastikan kebersihan dan keindahan kawasan tumpuan pelancong ini. “Sama-sama jaga nama baik Cameron Highlands dan negeri Pahang”, tegas baginda. Baginda seterusnya menyempurnakan pengurniaan sumbangan peribadi dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada sembilan mangsa terbabit. Setiap seorang mangsa menerima antara RM4,000-RM5,000.

Turut hadir memuliakan keberangkatan Pemangku Raja Pahang, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Saffian bin Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, YB.┬áDato’ ┬áSri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Pegawai Daerah, Haji Ishak bin Md Napis, Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Dato’ Azri bin Ahmad Ketua-Ketua Jabatan Daerah dan pemimpin-pemimpin tempatan.