KUALA LIPIS 21 Januari 2017 Bersamaan 22 Rabiulakhir 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat ke Majlis Perkahwinan pasangan Wan Nor Norjazilah binti Dato’ Haji Wan Jasmin, 28 dan Mohd Mustaqim bin Che Omar,31 tahun,yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Baginda diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Paduka Anakanda, Yang Mulia Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah. Pemangku Raja Pahang, memulakan majlis merenjis air mawar keatas pasangan ‘Raja Sehari’ diikuti, Tengku Puan dan YM Tengku Hasanal. Pengantin perempuan ialah anak kepada Orang Besar Berlapan Istana, Yang Hormat Dato’ Setia Muda Dato’ Haji Wan Jasmin bin Dato’ Haji Wan Badiuzzaman.

Tetamu-tetamu yang hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Adnan bin Yaakob, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Muhammad Saffian bin Ismail,  Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, YB. Dato’  Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Adun Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa bin Long dan Ahli Parlimen Lipis dan YB Dato’ Haji Abdul Rahman bin Mohamad. Antara tetamu lain, Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Haji Abdul Rahman Hamzah, Pembesar-pembesar Istana, Ketua-ketua Jabatan Daerah Lipis dan kedua ahli keluarga pasangan pengantin.