MENTAKAB 31 Januari 2017 Bersamaan 3 Jamadilawal 1438H – Pasangan pengantin yang sedang melangsungkan majlis perkahwinan menerima kunjungan mengejut tetamu istimewa pasangan diraja ketika melawat mangsa banjir di Kampung Batu Kapur, semalam. Tetamu yang hadir turut tidak menyangka apabila kenderaan dinaiki Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, berhenti di pintu pagar rumah pengantin.

Ketibaan pasangan diraja itu meluangkan masa hampir sejam bagi meraikan pasangan pengantin, Ilham Mudin bin Ilham Halid, 23, dan Siti Sharina Adila binti Rikidin, 23, selain beramah mesra dengan tetamu lain. Ilham Mudin berkata, kunjungan tersebut amat tidak disangka namun meluahkan rasa gembira apabila pasangan diraja itu hadir tanpa jemputan rasmi mengikut protokol istana.

Menurutnya, ibubapa kami cuma menjemput ‘secara mulut’ menerusi Pegawai Khas baginda, Yang Hormat Dato’ Cik Dan bin Mat. Tambahnya, Keberangkatan pasangan Diraja itu dianggap sebagai satu rezeki dan merupakan ‘hadiah’ paling istimewa yang diterima pada hari berbahagia mereka.

“Siapa yang tidak gembira bila raja datang ke majlis perkahwinan kita tanpa protokol, kami sekeluarga rasa seperti bermimpi.

“Rakyat sangat mengalu-alukan kehadiran raja yang berjiwa rakyat dan sentiasa prihatin terhadap rakyat baginda yang ditimpa musibah banjir.

“Kami sekeluarga juga mangsa banjir namun tetap meneruskan majlis perkahwinan yang secara kebetulan, air banjir surut hari ini.. semua ada hikmah disebalik bencana ini”,katanya.

KDYMM Pemangku Raja Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang menerima undangan ibu bapa penganti ketika baginda berdua sibuk memasak makan tengah hari untuk mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Batu Kapor yang berhampiran rumah yang mengadakan majlis kenduri kahwin. Tengku Abdullah dan Tunku Azizah mempunyai jadual yang padat sebelah petang, namun pasangan diraja itu tidak mahu menghampakan jemputan daripada rakyat baginda walaupun jemputan yang diterima secara spontan.

Baginda berangkat mencemar duli ke majlis kenduri pasangan itu, sebelum baginda meneruskan lawatan ke Pusat Perpindahan Banjir di Daerah Maran. Sebaik tiba, pasangan diraja itu turut bergambar bersama pengantin dan keluarga sebelum bersemayam dan santap bagi meraikan ‘Raja Sehari’. Sebelum berangkat pulang, KDYMM Pemangku Raja Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang mengucapkan tahniah dan mendoakan agar mereka berbahagia hingga ke akhir hayat.