KUANTAN. 2 Februari 2017 bersamaan 5 Jamadilawal 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Tuanku Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM9,384,000.00 kepada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang. Syarikat PNB diwakili oleh YBhg. Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Majlis yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Bukit Istana dihadiri oleh YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman, YH Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Dato’ Haji Halidan Md Daud, YH Setiausaha MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Hussain. Turut hadir wakil-wakil PNB terdiri daripada YBhg. Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, Dato’ Abdul Rahman Ahmad, YBhg. Timbalan Presiden & Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Dato’ Mohd Nizam Zainordin, Naib Presiden Pejabat Pengerusi, Encik Wan Ahmad Asmady Wan Md Din, Pengurus Cawangan ASNB Kuantan, Encik Zamri Musa dan Pengurus Associates Bertugas, Encik Helmi Ali.