KUANTAN. 2 Februari 2017 bersamaan 5 Jamadilawal 1438H – Penduduk Kampung Semangat terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Serbaguna kampung tersebut apabila rumah mereka dinaiki air secara mendadak semalam.

Seramai 57 keluarga termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU) berkampung di pusat tersebut sehinggalah keadaan banjir kembali pulih seperti sediakala.

Petang tadi, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bercemar duli berangkat menemui mangsa-mangsa yang terlibat.

Baginda yang mewakil KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan sumbangan peribadi menerusi Yayasan Istana Abdulaziz serta Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang berjumlah RM23,600.00 kepada mangsa-mangsa banjir bagi dapat meringankan bebanan mereka.

Baginda diiringi paduka anakanda puteri, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

KDYTM Tengku Puan Pahang bukan sahaja menyampaikan kurniaan malah baginda dua beranak turut mengerah keringat memasak di pusat tersebut untuk sajian makan malam, hampir 200 orang mangsa-mangsa termasuk sukarelawan.

Permaisuri hati kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang ini, tidak mengenal erti penat, malah diraut wajah baginda terpancar kecerian sepanjang tiga jam memasak sambil diperhati oleh rakyat baginda yang timpa musibah.

Lebih mengkagumkan rakyat jelata, Tengku Puan Pahang berangkat ketika bencana bebas didekati semua lapisan rakyat tanpa protokol.

Kesudian baginda mencemar duli di pusat-pusat pemindahan banjir bagi bersama-sama rakyat di kala mereka ditimpa bencana pastinya menjadi penawar serta kekuatan kepada mangsa banjir untuk menempuhinya dengan sabar dan tabah.