PEKAN. 3 Februari 2017 bersamaan 6 Jamadilawal 1438H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj meneruskan keberangkatan baginda pada hari ini dengan bercemar duli melawat pusat pemindahan banjir yang masih beroperasi sebagai penempatan sementara kepada mangsa-mangsa banjir. Memasuki hari ke-11 bencana banjir melanda negeri Pahang, baginda diiringi bersama-sama paduka anakanda puteri, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah melawat ke Pusat Pemindahan Banjir Kampung Ganchong Hulu.

Baginda berangkat dengan menaiki bot pasukan Polis untuk sampai ke tempat tersebut. Pusat pemindahan banjir tersebut turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang. Baginda juga berkesempatan melakukan pemeriksaan kesihatan daripada petugas di situ.

KDYTM Tengku Puan Pahang ramah bertanya khabar keadaan rakyatnya serta berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai mewakili KDYMM Pemangku Raja Pahang, sumbangan peribadi menerusi Yayasan Istana Abdulaziz serta bantuan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang kepada ketua-ketua keluarga. Manakala golongan kanak-kanak pula diceriakan dengan pengurniaan hadiah.