PEKAN. 6 Februari 2017 bersamaan 9 Jamadilawal 1438H – Kesibukan masa dengan jadual harian yang padat tidak menghalang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, bercemar duli berangkat menziarahi bekas pekerja baginda, Zainur bin Abu Bakar, 61 yang terlantar menderita kanser prostat tahap 4 di rumahnya, Perumahan Peramu Jaya 3, dekat sini.

Zainur mula berkhidmat di istana sebagai pelayan Istana Permai, Istana Abu Bakar di Pekan dan kemudiannya pindah bertugas di Istana Mahkota, Jalan Telok Chempedak seawal tahun 1978 ketika itu Tengku Abdullah memulakan tugas sebagai Pemangku Raja Pahang berikutan KDYMM Sultan Pahang di angkat menjadi Yang Dipertuan Agong ke-7. Zainur bersara pada 2012, dua tahun kemudian beliau disahkan menghidap kanser prostat iaitu saluran kencing awal 2014. Akibat penyakit kanser itu, tiga puntung jari kaki kanan Zainur terpaksa di potong. Tengku Abdullah meluangkan masa hampir satu jam menziarahi Zainur yang terlantar dikatil sambil bergurau senda mengimbau kisah lama dengan bekas pelayan baginda.

Turut berada ketika KDYMM Pemangku Raja menziarah Zainur, isterinya, Faridah binti Abdul Hamid dan anak-anaknya. Baginda menzahirkan rasa simpati terhadap penderitaan dialami Zainur selain merakamkan penghargaan terima kasih di atas jasa dan khidmat bakti Zainur sepanjang 34 tahun bertugas di istana. Sementara itu, Zainur amat terharu di atas kesudian KDYMM Pemangku Raja Pahang bercemar duli berangkat menjenguknya.

Beliau dengan nada sebak mengucapkan junjung kasih di atas ingatan bekas majikannya. “Ampun tuanku, patik mohon ampun dan maaf jika terdapat salah silap patik masa kerja..halalkan makan minum patik tuanku, junjung kasih tuanku”, sambil berpelukan dengan Pemangku Raja Pahang. Sebelum berangkat pulang, baginda mengurniakan sumbangan peribadi bagi meringankan beban Zainur sekeluarga.