MARAN. 7 Februari 2017 bersamaan 10 Jamadilawal 1438H – Pelajar Sekolah Menengah Agama Maran (SMAM) yang sedang mengikuti perhimpunan pagi dikejutkan dengan kebakaran asrama perempuan dan mengakibatkan 73 penghuninya tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi. Kebakaran disedari seorang ustazah yang berada di surau berdekatan sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah.

Pengetua SMA Maran, Shamsuri bin Shamsudin berkata, bangunan kayu berusia 33 tahun itu hangus terbakar dan tiada sebarang harta benda dapat diselamatkan termasuk kelengkapan pelajar. “Saya syukur Alhamdulillah semua 73 pelajar perempuan selamat, semua pelajar-pelajar telah keluar asrama dan mereka berada di perhimpunan pagi di sekolah.”

“Bangunan yang terbakar ialah blok bangunan kayu asrama perempuan yang dibina pada tahun 1984 dan bomba dapat mengawal api tidak merebak ke bangunan lain”, katanya ketika dihubungi. Menurutnya lagi, sekolah tersebut menempatkan seramai 334 pelajar berumur 13 hingga 17 tahun. Pihak Bomba dan Penyelamat Maran tiba jam 7.42 pagi berjaya memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berdekatan.

Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan selaku Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melawat ke tempat kejadian serta menyampaikan sumbangan bantuan berjumlah RM14,600.00 kepada 73 orang pelajar yang terlibat. Bantuan daripada MUIP bagi meringankan beban keluarga mangsa-mangsa untuk membiayai pakaian dan sebahagian peralatan sekolah yang musnah dalam kebakaran itu. Orang ramai yang bersimpati dengan nasib 73 pelajar yang tinggal sehelai sepinggang, pihak sekolah mengalu-alukan sumbangan ikhlas yang boleh disalurkan kepada Tabung PIBG SMAM, menerusi akaun Bank CIMB 06090007062052.

Majlis penyampaian bantuan turut dihadiri oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Pahang, Dato’ Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, YB Ahli Dewan Undangan Luit, Puan Nurhidayah binti Mohamad Shahaimi, YH Setiausaha MUIP, Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain dan Pegawai-Pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).