TEMERLOH. 10 Februari 2017 bersamaan 13 Jamadilawal 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat menunaikan solat Jumaat bersama-sama rakyat jelata di Masjid Baru Temerloh, di sini hari.

Baginda yang sedang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur memilih untuk singgah solat Jumaat dan santap/makan tengah hari di bandar yang terkenal dengan jolokan Bandar Ikan Patin. Baginda mengambil masa bersalaman sambil bermesra dengan jemaah selepas menunaikan solat dan mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak yang hadir solat Jumaat di masjid tersebut sebelum berangkat ke Rumah Rehat Temerloh untuk santap/makan tengah hari bersama-sama pemimpin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan daerah Temerloh.

Turut memuliakan keberangkatan tidak rasmi KDYMM Pemangku Raja Pahang, YB Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas, Dato’ Haji Syed Ibrahim bin Haji Syed Ahmad, YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin, Sahibus Samahah Mufti Pahang, YH Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, YB Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Sri Ismail bin Md Said, Pengerusi Mubarak Malaysia, YH Tan Sri Haji Abdul Aziz bin Abdul Rahman, Pegawai Daerah Temerloh, YH Dato’ Mohd Fadzli bin Mohd Kenali dan Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Abdul Aziz Salleh, YDP Majlis Daerah Temerloh dan Jurutera JKR Daerah dan Setiausaha MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain.

Selain itu, turut menikmati makan tengah hari bersama baginda, Ahli Jumaah Pangkuan Diraja, YH Dato’ Haji Zainal Azman bin Haji Bidin dan Orang Besar Enam Belas, YH Tok Muda Haji Talib bin Sulaiman dan Penghulu-Penghulu. Dalam masa yang sama, KDYMM Pemangku Raja Pahang mengambil peluang berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai kanan daerah ini dalam pelbagai hal sambil baginda menikmati santapan.