KUANTAN 12 Febuari 2017 Bersamaan 15 Jamadilawal -Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat ke Majlis Resepsi Perkahwinan anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif, PAIP Berhad,Yang Hormat Dato’ Mohd Zahari Bin Md. Isa yang berlangsung di Dewan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), disini hari ini.

Turut mengiringi, paduka anakanda baginda, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim dan Isteri. Keberangkat tiba baginda disambut oleh ibubapa pengantin lelaki, Dato’ Mohd Zahari, Isteri, Datin Latifah Hanum binti Adnan dan ibubapa kepada pengantin perempuan, Abd Hadi Bin Mahmud serta isteri, Rosliah Binti Mahamod.

Sebaik bersemayam dibilik rehat, KDYMM Pemangku Raja Pahang menerima mengadap pasangan raja sehari, Nur Muhammad Bin Dato’ Mohd Zahari 34 tahun dan Shifa Shakira bt Abd. Hadi 28 sebelum baginda berangkat di Dewan utama ditingkat satu untuk majlis santapan dan makan beradap. Pasangan tersebut telah melangsungkan perkahwinan 27 Januari lalu.

Turut hadir meraikan pasangan Nur Muhammad dan Shifa Shakira ialah YB Setiausaha Kerajaan, Dato’ Sri Haji Muhammad Safian bin Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, YB Dato’ Sri Soffi bin Dato’ Abdul Razak, tetamu-tetamu yang terdiri dari rakan-rakan dan saudara mara kedua keluarga.