KUANTAN. 15 Februari 2017 bersamaan 18 Jamadilawal 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan bercemar duli berangkat ke Program Lawatan Daerah Cameron Highlands selama tiga hari bermula hari ini. Mengikut jadual helikopter yang membawa baginda akan mendarat di Padang Kelab Golf Diraja di Tanah Rata, jam 12.15 tengah hari dan lawatan rasmi bermula esok. Sebaik tiba, KDYMM Pemangku Raja Pahang akan berangkat melawat Ladang Orkid di Ringlet jam 2.00 petang ini.

Pada hari kedua, jam 10.00 pagi baginda akan berangkat ke Pejabat Daerah dan Tanah untuk mendengar persembahan taklimat pembangunan daerah. Seterusnya baginda berangkat melawat kawasan kebakaran kedai dan gerai di Kea Farm dan berangkat ke Majlis Ramah Mesra bersama penduduk di Kg. Desa Kayangan di Brinchang. Sebelah petang, KDYMM Pemangku Raja Pahang akan bercemar duli ke Kampung Orang Asli Leryar di Ringlet.

Baginda akan beramah mesra bersama masyarakat orang Asli dan mengislamkan 9 orang Asli. Manakala sebelah malamnya, baginda berangkat ke Majlis Santapan dan Makan Malam bersama ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat di Cameron Highlands Resort. Pada hari terakhir sebelum menamatkan lawatan tiga hari ke Daerah Cameron Highlands, KDYMM Pemangku Raja Pahang akan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Abu Bakar di Tanah Rata. DIRGAHAYU TUANKU.