CAMERON HIGHLANDS. 16 Februari 2017 bersamaan 19 Jamadilawal 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, mengislamkan sembilan orang Asli suku kaum Semai, di Kampung Leryar, dekat sini. Sebaik mengakhiri titah diraja sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Leryar, Pemangku Raja Pahang selaku Tuanku Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menerima mengadap sembilan orang Asli yang telah terbuka hati untuk memeluk Islam. Baginda memulakan lafaz syahadah yang diikuti kesembilan-sembilan saudara baru secara serentak sebanyak tiga kali lafaz.

Terdahulu, keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang ke Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Leryar sempena lawatan rasmi baginda ke Daerah Cameron Highlands selama tiga hari. Baginda diberikan sambutan meriah oleh masyarakat orang Asli yang diketuai Tok Batin Kampung Leryar, Kapas bin Panching dengan persembahan tarian sewang. Pada majlis sama, baginda turut menyempurnakan kurniaan sumbangan peribadi baginda dan juga sumbangan MUIP berjumlah RM54,600.00 kepada tok batin, ketua keluarga masyarakat orang Asli dan kepada sembilan saudara baru.

Turut menerima kurniaan ialah kanak-kanak yang terdiri daripada anak-anak masyarakat orang Asli kampung tersebut yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob.

Turut memuliakan keberangkatan KDYMM Pemangku Raja Pahang, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua MUIP, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, YB Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, YB Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Dato’ Sri Haji Shahiruddin bin Ab. Moin, YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dato’ Norol Azali┬ábin Sulaiman dan YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail.

Turut hadir, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, YAA Ketua Hakim Syarie Pahang, Dato’ Haji Abdul Rahman bin Md Yunos, YH Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Dato’ Abdul Wahab bin Mat Yasin, YH Pemangku Ketua Polis Pahang, Dato’ Azri bin Ahmad dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Haji Ishak bin Md Napis.

VIDEO KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG ISLAMKAN 9 ORANG ASLI KAMPUNG LERYAR