KUANTAN. 6 Mac 2017 bersamaan 7 Jamadilakhir 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj sambut Ulang Tahun Hari Perkahwinan Baginda Yang Ke-31 di Kampung Chengal Lempong, Balok, Jumaat lalu.

Baginda berdua memilih tarikh 3 Mac serentak dengan majlis rasmi baginda, perasmian masjid baru kampung tersebut bagi mengadakan Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat sempena Ulang Tahun Hari Perkahwinan baginda. Majlis sambutan diadakan tiga hari lebih awal, tarikh sebenar Ulang Tahun Hari Perkahwinan baginda ialah pada hari ini, 6 Mac. Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman.

KDYMM Pemangku Raja Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang turut sama berjemaah menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak bersama kira-kira 1,000 orang tetamu, pelajar-pelajar sekolah tahfiz sekitar Kampung Balok termasuk ahli-ahli kariah masjid tersebut. Sebelum majlis santapan/makan malam, baginda terlebih dahulu menjamah tabak pulut kuning.

KDYMM Pemangku Raja Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang melangsungkan perkahwinan di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru pada 6 Mac 1986 bersamaan 26 Jamadilakhir 1406H. Manakala Istiadat Perkahwinan Diraja itu diadakan pada 19 Julai pada tahun yang sama di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Hasil daripada perkahwinan tersebut, baginda dikurniakan enam orang cahaya mata, 4 putera dan 2 puteri.

Terdahulu, di tempat yang sama KDYMM Pemangku Raja Pahang berkenan menyempurnakan perasmian masjid baru yang berharga RM4 juta di Kampung Chengal Lempong serta menamakan masjid tersebut, Masjid Tengku Abdullah Al-Haj. Hadir sama mengiringi baginda pada majlis tersebut, paduka kekanda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Hajjah Dato’ Aishah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Turut memuliakan keberangkatan baginda berdua ialah YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, YB Dato’ Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Negeri, YB Dato’ Abu Bakar bin Haji Harun, Pengerusi Belia dan Sukan Negeri, YB Dato’ Mohd Johari bin Hussin, Sahibus Samahah Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Mufti Negeri Pahang, YH Dato’ Haji Mohamad Noor bin Abdul Rani, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Pegawai Daerah Kuantan dan Ketua-ketua Jabatan – DIRGAHAYU TUANKU.