KUANTAN 7 Mac – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bercemar duli berangkat ke lokasi kejadian sebaik baginda menerima berita sebuah rumah rakyat baginda sedang terbakar di Kampung Balok, dekat sini, lewat petang tadi.

Baginda yang mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat tiba di lokasi kejadian jam 7.15 petang. Sebaik turun dari kenderaan, Baginda terus menerpa menemui mangsa, Fatimah Omar,67 dan keluarga yang berada di tempat kejadian. Baginda terus berpelukan sambil menenangkan mangsa yang kelihatan sugul selepas menyaksikan rumah pusaka arwah suaminya berusia 30 tahun hangus terbakar pada kejadian jam 4.40 petang.

Mangsa yang tinggal bersama anak dan menantu serta lima cucu di rumah tersebut tinggal sehelai sepinggang. Sebelum berangkat pulang, Tengku Puan Pahang menyampaikan kurniaan sumbangan peribadi KDYMM Pemangku Raja Pahang menerusi Tabung Kebajikan Yayasan Istana Abdulaziz (YIA) dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi meringankan keluarga mangsa. Sementara itu, anak mangsa, Nor Hazlina binti Kassim, 40, ketika ditemui memberitahu, semasa kejadian dia berada di tempat kerja di kawasan perindustrian Gebeng.

“Selepas mendapat panggilan telepun kira-kira 4.45 petang, saya terus balik. Saya tiba rumah dah hangus terbakar”, katanya dengan nada sebak. Menurutnya, tidak ada satu pun barang-barang dalam rumah dapat diselamatkan. Namun begitu, beliau bersyukur kerana ibunya yang uzur dan anak-anak dan dua anak sedaranya selamat dalam kejadian tersebut. Menurut Nor Haslina, beliau sekeluarga akan berpindah buat sementara di rumah bapa saudaranya, kira-kira 200 meter dari rumahnya.

“Saya bagi pihak emak, yang tak boleh bercakap selepas serangan angin ahmar menyembah junjung kasih diatas keberangkatan KDYTM Tengku Puan Pahang yang turut bersimpati dengan nasib kami sekeluarga”, tambahnya. Turut berada di tempat kejadian, Pegawai Daerah Kuantan yang juga Pegerusi Bencana Daerah Kuantan, Encik Zaliza Zulkifli dan Setiausaha Sulit Khas Kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang, Lt Col Haji Nor Hashim bin Abdul Aziz.