PEKAN. 16 Mac 2017 bersamaan 17 Jamadilakhir 1438H – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang menerima sejumlah RM4,856,501.64 bayaran zakat perniagaan daripada empat badan korporat. Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis sejurus baginda selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kali Ke-169. Baginda merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada badan-badan korporat yang menjalankan kewajipan menunaikan rukun Islam yang ketiga kepada Majlis Ugama Islam Pahang sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab dalam pengurusan kutipan dan agihan zakat di negeri Pahang.

Badan korporat yang menunaikan zakat perniagaan pada hari ini adalah ;-

1. Lembaga Tabung Haji berjumlah RM2,809,096.64 oleh Ahli Lembaga Pengarah, YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin.
2. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berjumlah RM1,430,578.34 menerusi Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, YB Dato’ Seri Haji Saipolbahari bin Haji Suib.
3. Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM366,826.66 oleh Pengerusi, YBhg. Datuk Zamani bin Abdul Ghani.
4. RHB Islamic Bank Berhad berjumlah RM250,000.00 diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Dato’ Adissadikin bin Ali. 

“Hasil kutipan zakat yang dibayar oleh pembayar-pembayar zakat pada tahun lepas (2016) berjumlah RM132 juta manakala pihak Majlis telah mengagihkan sejumlah RM135 juta kepada para asnaf dengan perlaksanaan program pembangunan sosial dan ekonomi, pendidikan, kesihatan, program dakwah dan pemantapan akidah serta program pembangunan masjid, surau dan kubur. Majlis Ugama Islam Pahang sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan bagi hal ehwal pengurusan kutipan dan agihan zakat akan meneliti penguatkuasaan Enakmen 11, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang yang memperuntukkan bahawa ‘mana-mana orang yang enggan memberi penyata atau taksiran pendapatannya berhubung dengan zakat dan fitrah adalah melakukan satu kesalahan yang boleh didakwa’. Sehubungan dengan itu, pihak Majlis melalui Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) akan mengambil langkah-langkah ke arah mewajibkan setiap umat Islam yang berkerjaya memberikan maklumat pendapatan masing-masing untuk taksiran zakat yang ada disediakan secara atas talian (on-line). Justeru, kerjasama dari pihak Kerajaan Negeri Pahang diharapkan dapat membantu urusan memberikan maklumat atau butiran kakitangan kerajaan, badan-badan berkanun, anak-anak syarikat agensi kerajaan serta swasta yang berkhidmat di negeri ini. Perkara tersebut dijangkakan dapat meningkatkan bilangan pembayar zakat pendapatan mencapai sehingga 75 ribu orang pada tahun 2018”, titah KDYMM Tuanku Yang Dipertua semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis yang berlangsung pada pagi tadi.

Mengiringi baginda menyempurnakan penerimaan zakat perniagaan, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan dan juga YH Pengurus Besar Kanan PKZ, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud.