CAMERON HIGHLANDS. 10 April 2017 bersamaan 13 Rejab 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat ke Majlis Persembahan Taklimat Pembangunan Struktur Daerah Cameron Highlands, di sini, hari ini.

Majlis taklimat terpaksa ditangguhkan lebih dua jam berikutan helikopter TUDM EC175 yang membawa baginda terpaksa berpatah balik ekoran cuaca buruk sebelum memasuki udara Tanah Rata, tempat mendarat. Helikopter yang membawa Pemangku Raja dan Pegawai-Pegawai baginda terpaksa melakukan pendaratan cemas di perkampungan Orang Asli, Kampung Cheros, kira-kira 41 kilometer dari Tanah Rata.

Majlis taklimat tertutup itu diteruskan sejurus baginda berangkat tiba di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata. Majlis taklimat tersebut dimulakan persembahan taklimat oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Haji Ishak bin Md Nafis berselang-seli sesi soal jawab dan diakhiri titah diraja. Taklimat tertutup itu dihadiri YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Haji Muhammad Safian bin Ismail, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan Daerah Cameron Highlands.

Majlis taklimat khas itu diadakan susulan lawatan rasmi Pemangku Raja Pahang ke daerah ini bulan lalu. Turut bersama Pemangku Raja Pahang mendengar taklimat tersebut ialah, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja, Haji Adnan bin Haji Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, YB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin bin Ab. Moin dan juga YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Haji Shamsulbahri bin Haji Ibrahim.