CAMERON HIGHLANDS. 11 April 2017 bersamaan 14 Rejab 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HDHK) bersempena lawatan baginda ke wad pesakit di hospital tersebut disini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri,YB. Dato’ Norol Azali Bin Sulaiman, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Sha’ari bin Ngadiman dan Pengarah HSHK, Dr. Muhd Rafiq bin Mohd Kasri dan kakitangannya. Para pesakit yang sedang menerima rawatan berasa amat teruja serta terharu atas keprihatinan baginda melawat mereka.

Selain beramah mesra bertanya khabar keadaan para pesakit, baginda berkenan mengurniakan sumbangan peribadi wang tunai dan hamper sumbangan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 25 orang pesakit yang dilawati.

Baginda yang juga selaku Tuanku Yang Dipertua MUIP turut menyampaikan kurniaan sumbangan bantuan peralatan perubatan untuk kemudahan hospital tersebut berjumlah RM38,900.00.

Terdahulu, Kebawah Duli Tuanku berkenan mendengar persembahan taklimat mengenai sejarah dan operasi HSHK yang disampaikan oleh Pengarahnya, Dr. Muhd Rafiq.

Hadir sama mengiringi baginda sepanjang lawatan ke wad ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri,YB. Dato’  Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Haji Ishak bin Md Nafis, Pemangku Ketua Polis Pahang, YH Dato’ Azrin bin Ahmad dan Setiausaha MUIP,YH Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain dan Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.